Kerja-kerja Pembaikan Sistem Pengepaman Di LRA Sungai Limau

542075573_748140854856052_1342077931908329224_n.jpg

Syarikat Air Darul Aman (SADA) ingin memaklumkan berlaku gangguan bekalan air melibatkan sebahagian pengguna di kawasan agihan Tangki Taman Saga (R4), susulan kerosakan pada sistem pengepaman di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau.

Gangguan ini mula dikesan pada 1 September 2025, apabila berlaku penurunan bekalan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada 11kV kepada 10kV. Kejadian ini telah memberi kesan kepada sistem pengepaman di LRA Sungai Limau sehingga menyebabkan gangguan operasi.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1BDPXnDhCL/

Pasukan teknikal SADA kini sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan sistem pengepaman yang terjejas. Pada masa yang sama, langkah pengagihan semula bekalan air sedang dilakukan bagi meminimumkan impak kepada para pengguna yang terkesan.

Bantuan alternatif melalui lori tangki telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis, sekolah berasrama serta upacara pengebumian.

Selain itu, SADA turut menyediakan Pusat Agihan Bekalan (PAB) di 12 lokasi strategik bagi memudahkan para pengguna mendapatkan bekalan air bersih sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Maklumat terkini mengenai gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari masa ke masa melalui platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my. Para pengguna juga boleh menghubungi talian careline i-SADA di 15404 untuk sebarang pertanyaan lanjut.