Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif

Tuan Radzuan Bin Osman, SDK., AMK., BCK.
Ketua Pegawai EksekutifAssalammualaikum dan Salam Sejahtera,
Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih dan selamat datang kepada semua pelayar laman sesawang rasmi Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA). Amnya, laman sesawang ini merupakan salah satu daripada platform untuk kami menyampaikan maklumat serta informasi terkini tentang perkhidmatan bekalan air di Negeri Kedah kepada semua pelanggan SADA yang dihormati.
SADA merupakan sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan merupakan syarikat pengganti kepada Jabatan Bekalan Air Kedah (JBAK) yang telah dikorporatkan pada 1 Januari 2010.
Sehubungan dengan peranan dan fungsi SADA sebagai operator air terawat di Negeri Kedah, SADA tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan di bawah Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 [(Akta 654 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)] serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Sejak mula dikorporatkan pada tahun 2010, SADA terus komited dalam mencapai visi syarikat melalui inisiatif “Merevolusikan Aset Bekalan Air” yang mula diperkenalkan pada tahun 2024.
SADA telah melaksanakan pelbagai transformasi sepanjang tempoh ini terutamanya dari aspek infrastruktur dan fasiliti air di seluruh Negeri Kedah dengan memberi penekanan pada lokasi-lokasi hotspot yang telah dikenalpasti.
Dalam pada itu, SADA juga sentiasa berusaha meningkatkan mutu dan nilai perkhidmatan dari semasa ke semasa, bukan sahaja dari sudut teknikal malah hal-hal pentadbiran seperti khidmat pelanggan, teknologi maklumat dan sebagainya.
Sebagai sebuah agensi yang sentiasa menitikberatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan, saya sentiasa mengalu-alukan sebarang pandangan yang konstruktif serta cadangan yang membina bagi tujuan penambahbaikan laman sesawang ini. Cadangan dan pandangan tersebut boleh disalurkan menerusi e-mel korporat@sada.com.my.
Selain itu, penambahbaikan pada laman sesawang rasmi SADA ini merupakan salah satu daripada hasrat kami untuk menjadi sebuah badan korporat yang berevolusi ke arah pendigitalan penuh selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Kedah 2035, sekali gus meningkatkan lagi kecekapan penyampaian maklumat serta memenuhi kehendak dan kepuasan pelanggan.
Akhir kata, saya berharap agar laman sesawang ini menjadi one stop center bagi memenuhi keperluan orang ramai membuat carian serta rujukan maklumat berkaitan SADA.
Terima kasih, dan selamat melayari laman sesawang rasmi SADA.