Sejarah Penubuhan
Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) merupakan sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Kedah dan merupakan syarikat pengganti kepada Jabatan Bekalan Air Kedah (JBAK) yang telah dikorporatkan pada 1 Januari 2010.
Semua Jabatan Bekalan Air Negeri dan Lembaga Air Negeri perlu dikorporatkan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2008 dan kesemua operator air perlu dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dibawah Akta 655.
Enakmen Bekalan Air (Syarikat Pengganti) 2008 telah diluluskan oleh Dewan Negeri pada 18 November 2007 dan diwartakan penguatkuasaannya mulai 1 Januari 2010. Enakmen tersebut membolehkan Kerajaan Negeri memindahkan harta, hak dan liabiliti Kerajaan Negeri berkenaan dengan perkhidmatan bekalan air kepada suatu Syarikat Pengganti yang akan berfungsi sebagai operator bekalan air bagi menggantikan JBAK.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bermesyuarat pada 3 Jun 2009 telah bersetuju dengan penubuhan sebuah syarikat pengurusan air negeri yang akan mengambil alih tugas JBAK dan dikorporatkan pada tahun 2010. MMK juga bersetuju untuk mendaftarkan SADA sebagai syarikat pengurusan air terawat Negeri Kedah.
SADA kini beroperasi sebagai sebuah syarikat korporat yang mementingkan pentadbiran berkualiti demi menjaga kepentingan pengguna di Negeri Kedah agar mendapat air terawat yang mencapai piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organization (WHO).