Majlis Simbolik Penyerahan Wakalah Agihan Zakat Perniagaan SADA Sempena Program Jom Kembali Ke Sekolah "Berjaya Bersama" 2025

485875883_620838604252945_5471585262897495518_n.jpg

YAN, 23 Februari 2025 - Sempena permulaan sesi persekolahan tahun 2025, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sekali lagi telah berkolaborasi dalam menganjurkan Program Jom Kembali Ke Sekolah “Berjaya Bersama” edisi 2025. Majlis simbolik penyerahan sumbangan telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka, Yan melibatkan 94 orang pelajar.

Melalui penganjuran program edisi kedua ini, seramai 400 orang pelajar kategori asnaf daripada 16 buah sekolah rendah di seluruh Negeri Kedah telah menerima manfaat dengan menerima kelengkapan persekolahan seperti uniform dan beg sekolah.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1ArB3BrBgx/

Objektif utama program ini, selain melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat, ia bertujuan bagi meringankan bebanan ibu bapa yang berpendapatan rendah dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak. Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk memberi motivasi serta suntikan semangat kepada para pelajar untuk memulakan sesi persekolahan.

Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Tuan Radzuan bin Osman. Turut hadir Ketua Pegawai Agihan LZNK, Ustaz Mohd Suraidi bin Saad, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Yan (Pembangunan Bakat Murid), Tuan Shahrul Amri bin Salleh dan Guru Besar SK Ulu Sedaka, Puan Anita Badriah binti Abd Rahman.

Majlis penyerahan di sekolah-sekolah lain akan dibuat sepanjang minggu ini. Selain Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka, sekolah lain yang menerima sumbangan ini adalah Sekolah Kebangsaan Mergong, Sekolah Kebangsaan Gunung, Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap, Sekolah Kebangsaan Tok Mat Salleh, Sekolah Kebangsaan Sungai Daun Tengah, Sekolah Kebangsaan Sungai Kering, Sekolah Kebangsaan Padang Lumat, Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun, Sekolah Kebangsaan Guar Chempedak, Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, Sekolah Kebangsaan Tasek Apong, Sekolah Kebangsaan Jeneri, Sekolah Kebangsaan Ladang Dublin, Sekolah Kebangsaan Dato’ Haji Zainuddin dan Sekolah Kebangsaan Nyior Chabang.

Sebagai sebuah syarikat pembekal air terawat tunggal di Negeri Kedah, program seperti ini merupakan salah satu inisiatif SADA untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan komuniti sasaran.

Semoga sedikit sumbangan daripada SADA ini dapat meringankan beban ibu bapa penerima.

#JubliBaiduriSADA #SADA15Tahun #TanggungjawabSosialKorporat #SADAQAH