SADA Ambil Tindakan Segera Tangani Impak Insiden Kepala Air

GURUN, 10 Mei 2025 - Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) ingin memaklumkan bahawa satu insiden kepala air telah berlaku di kawasan tadahan yang membekalkan sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air (LRA) Gurun awal pagi tadi.
Hujan lebat yang berterusan di hulu Gunung Jerai telah menyebabkan berlakunya aliran deras yang membawa bersama serpihan kayu, batu dan lumpur sehingga mengakibatkan paip air mentah yang menghubungkan muka sauk ke LRA terputus. Hal ini turut mengakibatkan berlakunya peningkatan mendadak kadar kekeruhan air mentah.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/16PPj8YSw3/
Kesan daripada insiden tersebut, sebanyak 3850 akaun pengguna di kawasan agihan bekalan LRA Gurun telah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. Antara kawasan yang terlibat adalah Pekan Gurun, Taman Murni, Taman Sri Utama, Taman Suria, Kg. Panjang, Kg. Kilang Ketapan dan beberapa kawasan lain.
Kerja-kerja pembersihan muka sauk dan penyambungan paip yang terputus telah siap dilaksanakan oleh SADA sekitar jam 5.00 petang tadi.
SADA sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak kepada para pengguna yang terkesan. Bantuan alternatif melalui lori tangki telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis, sekolah berasrama serta upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Maklumat terkini mengenai gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari masa ke masa melalui platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my. Para pengguna juga boleh menghubungi talian careline i-SADA di 15404 untuk sebarang pertanyaan atau bantuan lanjut.






