Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf LRA Jenun Baru

886677233_1112020048468129_6215055896560632378_n.jpg

PENDANG, 4 November 2026 – Satu lagi infrastruktur penting dalam sistem bekalan air Negeri Kedah mencapai fasa penyerahan Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru yang berlangsung di Pendang, hari ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA), YBhg. Dato’ Radzuan Osman bersama wakil Kerajaan Negeri, agensi serta pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/184Po17ATy/

LRA Jenun Baru mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 55 juta liter sehari (MLD). Bersama LRA Jenun sedia ada yang turut berkapasiti 55 MLD, jumlah kapasiti pengeluaran di fasiliti air berkenaan kini meningkat kepada 110 MLD.

Peningkatan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 36,850 akaun pengguna melibatkan daerah Pendang, Yan, Kuala Muda dan sebahagian Kota Setar, termasuk kawasan yang sebelum ini berdepan isu tekanan air rendah dan berada di penghujung rangkaian agihan.

Projek berkenaan turut melibatkan pemasangan rangkaian paip sepanjang 46.8 kilometer bagi menyokong pengagihan bekalan air terawat dari loji ke kawasan-kawasan yang terlibat.

Bagi SADA, penyiapan LRA Jenun Baru merupakan perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kapasiti bekalan air di negeri ini. Pertambahan pengeluaran air terawat bukan sahaja membantu memenuhi keperluan pengguna di kawasan terlibat, malah turut menyumbang kepada usaha meningkatkan rizab margin bekalan air Kedah secara berperingkat.

SADA menyambut baik penyerahan projek ini dan akan terus memberi tumpuan kepada pengoperasian serta pengurusan sistem bekalan air supaya peningkatan kapasiti yang tersedia dapat diterjemahkan kepada penyampaian bekalan yang lebih baik kepada pengguna.

SADA turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah serta semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan projek ini.