Pengurusan SADA Turun Padang Sertai Aktiviti Mengesan Kebocoran

840095042_1086107897726011_16624224099773883_n.jpg

ALOR SETAR, 9 Oktober 2026 – Barisan pengurusan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah menyertai aktiviti pengesanan kebocoran paip air yang dilaksanakan di sekitar Pekan Alor Setar, semalam.

Program tersebut memberi pendedahan secara langsung kepada pihak pengurusan mengenai proses pengesanan kebocoran di lapangan, termasuk kaedah kerja serta penggunaan peralatan khas yang membantu pasukan teknikal mengenal pasti lokasi kebocoran dengan lebih tepat.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1SoSAawm7w/

Penyertaan ini turut memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk memahami dengan lebih dekat cabaran yang dihadapi oleh pasukan teknikal dalam mengesan kehilangan air dalam sistem agihan, khususnya kebocoran yang tidak dapat dikenal pasti melalui mata kasar.

Isu Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water – NRW) merupakan antara cabaran utama yang diberi perhatian oleh SADA kerana kehilangan air dalam sistem memberi kesan terhadap kecekapan operasi dan jumlah air terawat yang sepatutnya dapat disalurkan kepada pengguna.

Justeru, usaha menurunkan kadar NRW memerlukan pendekatan yang berterusan dan menyeluruh, merangkumi penggunaan teknologi dan peralatan yang bersesuaian, penyelenggaraan sistem, tindakan pembaikan serta kerjasama masyarakat dalam melaporkan kebocoran paip yang dijumpai.

SADA komited untuk terus mempergiatkan usaha menurunkan kadar NRW secara berterusan menerusi pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air di Negeri Kedah.