Projek Perkhidmatan Pembangunan Solar Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd.

789507536_1051618637841604_2578067410627113732_n.jpg

KUALA KETIL, 1 September 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) hari ini melancarkan Perkhidmatan Pembangunan Solar SADA sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan penggunaan tenaga serta memperkukuh agenda kelestarian dalam pengurusan perkhidmatan air negeri.Majlis yang berlangsung di Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Ketil itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Kedah merangkap Pengerusi SADA, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Pelaksanaan Fasa 1 inisiatif berkenaan melibatkan tiga buah loji rawatan air iaitu LRA Kuala Ketil Baru, LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Sungai Ular, dengan kapasiti keseluruhan sekitar 2.55 megawatt peak (MWp) serta melibatkan pemasangan lebih 4,111 panel solar yang berupaya menjana kira-kira 3.95 juta kilowatt-jam tenaga bersih setahun.Projek bernilai sekitar RM7.5 juta itu dilaksanakan melalui pendekatan yang tidak memerlukan SADA menyediakan perbelanjaan modal awal atau CAPEX, sekali gus membolehkan sumber kewangan syarikat terus difokuskan kepada operasi utama, penyelenggaraan aset, peningkatan sistem serta usaha memperkukuh tahap perkhidmatan kepada pengguna.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1EfaA2bPnq/

Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar berkata, projek yang baik perlu mampu menemukan titik pertemuan antara kecekapan operasi, kemampuan kewangan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. “Projek yang baik ialah apabila kita mampu menemukan titik pertemuan antara kecekapan operasi, kemampuan kewangan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.”

Beliau berkata, penggunaan tenaga solar di ketiga-tiga loji bagi Fasa 1 turut dianggarkan dapat mengurangkan pelepasan sekitar 2,317.17 tan karbon dioksida setahun, sekali gus menyumbang kepada agenda kelestarian dan penggunaan tenaga yang lebih bersih. Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif berkenaan juga selari dengan hala tuju Pelan Pembangunan Kedah 2035, khususnya dalam memperkasakan perkhidmatan air terawat, pengembangan industri tenaga boleh diperbaharui serta kemampanan alam sekitar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SADA, YBhg. Dato’ Radzuan Osman berkata, pelaksanaan projek solar merupakan kesinambungan kepada usaha SADA meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga selepas syarikat berjaya mengurangkan kos elektrik bulanan melalui kerja-kerja penggantian dan penambahbaikan sistem mekanikal dan elektrikal di loji rawatan air. “Apabila kita sudah melihat bagaimana peningkatan kecekapan peralatan boleh memberikan penjimatan yang signifikan, kita mula melihat pula apakah ruang seterusnya yang boleh diterokai dalam pengurusan tenaga.”

Sebelum ini, kos penggunaan elektrik SADA pernah mencecah sekitar RM14 juta sebulan sebelum berjaya dikurangkan kepada sekitar RM11 juta sebulan menerusi pelaksanaan kerja-kerja penggantian dan penambahbaikan sistem mekanikal dan elektrikal di loji-loji rawatan air. Usaha meneroka penggunaan tenaga solar kemudiannya menjadi antara langkah seterusnya SADA dalam mengurangkan kos operasi serta meningkatkan kecekapan tenaga untuk jangka panjang.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Seri Haji Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah, YB Dato’ Haji Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, YB Mejar (B) Mansor Zakaria; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, YB Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa; Ketua Pegawai Eksekutif SADA, YBhg. Dato’ Radzuan bin Osman; Pegawai Daerah Kuala Muda, YBrs. Puan Hajah Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad, Pegawai Daerah Baling, Tuan Yazlan Sunardie Che Yahaya serta tetamu-tetamu kehormat lain.

Kejayaan pelaksanaan Fasa 1 ini akan menjadi asas kepada SADA untuk terus menilai dan meneroka potensi peluasan penggunaan tenaga solar ke fasiliti-fasiliti lain yang bersesuaian, seiring dengan usaha syarikat untuk mengurus sumber secara lebih cekap dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Negeri Kedah.