Istiadat Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman

789237251_1050869067916561_6988089431241360660_n.jpg

ALOR SETAR, 31 Ogos 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) mencatat kejayaan apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Kontinjen Paling Menarik sempena Istiadat Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman yang berlangsung di Dataran Medan Bandar, Alor Setar, hari ini.

Istiadat berkenaan disempurnakan oleh Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan disaksikan puluhan ribu rakyat yang membanjiri sekitar Dataran Medan Bandar bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1D7h6FHRCU/

Pada edisi kali ini, Kontinjen SADA tampil dengan uniform yang diinspirasikan daripada pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar tahun 1974 hingga 1994 sebagai simbol penghargaan dan penghormatan terhadap jasa serta pengorbanan pasukan keselamatan negara.

Pemilihan konsep tersebut turut mengimbau warisan kegemilangan yang menampilkan nilai disiplin, integriti dan semangat berkhidmat, yang terus menjadi asas pegangan warga PDRM sehingga hari ini.

Nilai-nilai tersebut turut diterapkan dalam budaya kerja SADA sebagai sebuah organisasi yang memikul amanah dan tanggungjawab dalam menyampaikan perkhidmatan bekalan air terawat yang berkualiti dan berterusan kepada 2.2 juta rakyat Negeri Kedah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah kemudiannya berkenan menyampaikan piala iringan dan cek cura kemenangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SADA, YBhg. Dato’ Radzuan Osman bersama Ketua Kontinjen SADA, Encik Mohd Izham Izhar.

Kejayaan ini merupakan hasil usaha dan semangat berpasukan seluruh anggota Kontinjen SADA sepanjang tempoh latihan dan persiapan, disertai sokongan juga dorongan pihak pengurusan serta gerak kerja urus setia yang bersama-sama memastikan penyertaan SADA pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

SADA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Istiadat Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman pada tahun ini.