Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia
ALOR SETAR, 26 Ogos 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) pada hari ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertemakan “Jasa Dikenang, Bakti Dihargai” yang berlangsung di Dewan Seminar, Menara SADA.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Cawangan Negeri Kedah, Perlis & Pulau Pinang ini merupakan antara inisiatif SADA sempena Bulan Kebangsaan dalam menzahirkan penghargaan kepada para veteran yang telah mencurahkan khidmat, bakti dan pengorbanan demi keamanan serta kedaulatan negara.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/19CuMEBN1U/
Seramai 20 orang veteran ATM telah diraikan dan menerima sumbangan daripada SADA, selain sumbangan barangan keperluan asas yang disediakan oleh pihak JHEV ATM.
Majlis telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, YBhg. Dato’ Radzuan Osman dan turut dihadiri oleh Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah, Perlis & Pulau Pinang, Tuan Mej. Mohd Izmer Ghazali, barisan pengurusan SADA, wakil-wakil daripada persatuan veteran ATM serta para penerima sumbangan.
Dalam majlis yang sama, para tetamu turut berpeluang mengikuti slot “Catatan Veteran: Misi MALBATT di Somalia” yang disampaikan oleh Sjn. (B) Mohd Sabri Ahmad, yang berkongsi pengalaman sebenar beliau ketika terlibat dalam misi di Somalia 33 tahun yang lalu.
Perkongsian tersebut memberi peluang kepada warga SADA untuk mendengar sendiri pengalaman seorang anggota yang pernah berada di medan operasi, sekali gus menghayati dengan lebih dekat erti keberanian, pengorbanan dan semangat berkhidmat kepada negara.
SADA berharap sedikit sumbangan yang disampaikan ini dapat memberi manfaat kepada para penerima, namun lebih utama, program ini menjadi tanda bahawa jasa dan pengorbanan para veteran akan terus dikenang serta dihargai oleh generasi hari ini.
SADA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah, Perlis & Pulau Pinang atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. Jasa Dikenang, Bakti Dihargai
