Majlis Penutup Program Fat 2 Fit Duo 2025/2026
ALOR SETAR, 20 Ogos 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah mengadakan Majlis Penutup Program Fat to Fit Duo (F2F DUO) 2025/2026 yang berlangsung di Dewan Seminar, Menara SADA.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, YBhg. Dato’ Radzuan Osman dan turut dihadiri barisan kepimpinan SADA, urus setia program serta para peserta F2F DUO.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/18PkMS24t2/
Program anjuran Biro Sukan, Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi (KSKR) SADA ini kini memasuki edisi ketiga penganjurannya. Berbeza dengan edisi terdahulu yang dilaksanakan secara individu atau solo, penganjuran kali ini tampil dengan konsep Duo yang menekankan elemen kerjasama, sokongan dan motivasi antara pasangan peserta dalam mencapai sasaran kecergasan masing-masing.
Selain memberi penekanan kepada aspek kecergasan fizikal, program ini turut menjadi platform dalam membina semangat berpasukan, disiplin, daya tahan serta mengeratkan hubungan sesama warga kerja SADA.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Radzuan turut menekankan bahawa kesihatan dan kecergasan fizikal merupakan antara aset penting kepada warga kerja. Kecergasan badan mampu memberi impak positif kepada kecerdasan minda, emosi dan tahap produktiviti, sekali gus membantu warga kerja melaksanakan tugasan hakiki dengan lebih fokus, cergas dan berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung.
SADA berharap program seumpama ini dapat terus dilaksanakan dan diperkasakan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha membudayakan gaya hidup sihat, aktif dan seimbang dalam kalangan warga kerja.
