Majlis Lapor Diri Dan Suai Kenal Anggota Baharu SADA
ALOR SETAR, 28 Julai 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah mengadakan Majlis Lapor Diri dan Suai Kenal Anggota Baharu SADA yang berlangsung di Dewan Menara SADA pada 26 dan 27 Julai 2026 sebagai platform menyambut kehadiran warga kerja baharu serta memperkenalkan mereka kepada pengurusan tertinggi dan barisan kepimpinan syarikat.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, YBhg. Dato’ Radzuan Osman, serta turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi SADA, Ir. Saiful Azlan Mat Radhi, Pengurus Besar Teknikal & Operasi, Ts. Hizaruddin Razak, ketua-ketua jabatan dan pengurus-pengurus wilayah.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1E9c5PA3dz/
Seramai 37 anggota baharu yang terdiri daripada Juruteknik, Kerani (Pentadbiran/Akaun) dan Pembaca Meter telah melapor diri untuk memulakan perkhidmatan bersama SADA serta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pihak pengurusan tertinggi bagi memahami peranan, tanggungjawab dan hala tuju organisasi.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Radzuan Osman mengalu-alukan kehadiran semua anggota baharu serta berharap mereka dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi, integriti dan semangat kerja berpasukan dalam menyokong usaha SADA memberikan perkhidmatan bekalan air yang terbaik kepada rakyat Negeri Kedah.
SADA mengucapkan selamat datang kepada semua anggota baharu dan berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam organisasi serta bersama-sama menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan berterusan syarikat pada masa hadapan.
