Kerja-Kerja Penambahbaikan Sistem Instrumentasi Pengepaman Tangki Imbangan Paya Telunjuk
Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan pada sistem instrumentasi pengepaman Tangki Imbangan Paya Telunjuk di Loji Rawatan Air (LRA) Kulim Hi-Tech, hari ini.
Projek ini merupakan sebahagian usaha berterusan SADA dalam memastikan sistem bekalan air di loji tersebut beroperasi dengan lebih cekap dan stabil, khususnya bagi menyokong keperluan kawasan industri Kulim Hi-Tech Park.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1DRWq4ubUm/
Antara kerja utama yang dilaksanakan adalah penggantian electromagnetic flow meter yang telah menurun tahap kecekapannya, selain beberapa kerja pembaikan dan pemasangan komponen sokongan lain pada sistem paip sedia ada.
Agihan air secara efisien dan lebih mampan dengan adanya sistem instrumentasi, di mana pengukuran kadar pengeluaran air dapat diukur dengan lebih tepat.
Kerja-kerja ini dilaksanakan secara terancang dengan pemantauan rapi oleh pasukan teknikal SADA bagi memastikan keselamatan, kualiti kerja serta meminimumkan kesan kepada pengguna.
Usaha penambahbaikan ini penting bagi memastikan bekalan air yang lebih stabil dan mampan, selari dengan komitmen SADA untuk terus mengukuhkan aset dan fasiliti bekalan air di Negeri Kedah.
SADA merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan sokongan sepanjang pelaksanaan kerja ini.
