600 Orang Pelajar Sekolah Rendah Terima Manfaat Melalui Penganjuran Program Jom Kembali Ke Sekolah 2026

617441779_861620850174718_7088116498947107052_n.jpg

ALOR SETAR, 20 Januari 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Kembali Ke Sekolah 2026 bertempat di Dewan Seminar Menara SADA hari ini. Majlis ini berlangsung meriah dengan kehadiran para guru dan pelajar dan telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Teknikal dan Operasi SADA, Ir. Saiful Azlan Mat Radhi yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Tuan Radzuan Osman.

Turut sama hadir, Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf dan Usahawan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Encik Zulkifli Ismail. Objektif utama penganjuran program ini adalah bagi membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga dalam membuat persiapan persekolahan menjelang sesi akademik baharu, khususnya bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/14NBZK6fvzG/

Program ini telah memasuki edisi ketiga penganjuran pada tahun ini dan memberi manfaat kepada 600 orang pelajar melibatkan 12 buah sekolah di seluruh Negeri Kedah. Antaranya Sekolah Kebangsaan Teluk Jamat, Sekolah Kebangsaan Paya Mengkuang, Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara, Sekolah Kebangsaan Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan Pedu, Sekolah Kebangsaan Tanjong Dawai, Sekolah Kebangsaan Semeling, Sekolah Kebangsaan Taman Jelutong, Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu, Sekolah Kebangsaan Chemara, Sekolah Kebangsaan Binjul dan Sekolah Kebangsaan Jeneri.

Pada edisi kali ini, SADA telah menyumbangkan uniform Pendidikan Jasmani & Kesihatan (PJK) sekolah masing-masing, beg sekolah serta set alat tulis.

Sedar tentang perkembangan teknologi masa kini khususnya dalam bidang pendidikan, SADA turut menyumbang sebuah Smart TV bersaiz 65 inci kepada setiap sekolah yang terlibat dalam program ini. Sumbangan tersebut diharap dapat membantu para guru dan pelajar dalam proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P).

“Semangat Baharu, Harapan Baharu” dipilih sebagai tema program ini bagi tahun 2026 dengan membawa maksud setiap sumbangan yang disampaikan hari ini diharap dapat menyuntik semangat baharu kepada anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan, sekali gus membuka harapan baharu buat mereka dan keluarga dalam membina masa depan yang lebih cerah melalui pendidikan.

SADA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat memberi manfaat berpanjangan serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan anak-anak di Negeri Kedah.