Majlis Amanat Tahun Baharu Ketua Pegawai Eksekutif Kepada Warga Kerja SADA 2026

612450647_852389527764517_8334858140628601563_n.jpg

ALOR SETAR, 8 Januari 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah menganjurkan Majlis Amanat Tahun Baharu Ketua Pegawai Eksekutif Kepada Warga Kerja SADA yang berlangsung di Dewan Seminar, Menara SADA, hari ini. Majlis ini diadakan sebagai platform kepada Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Tuan Radzuan Osman untuk menyampaikan hala tuju, keutamaan serta perancangan strategik syarikat bagi tahun 2026 selaras dengan aspirasi penambahbaikan mutu perkhidmatan.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Teknikal & Operasi, Ir. Saiful Azlan Mat Radhi dan Pengurus Kanan Jabatan Korporat, Puan Siti Syuhairah Sobri bersama barisan pengurusan serta warga kerja SADA. Dalam amanat tahun baharunya, Tuan Radzuan Osman merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga kerja SADA atas komitmen serta pencapaian sepanjang tahun 2025. Beliau menegaskan bahawa setiap kejayaan yang dikecapi merupakan hasil usaha kolektif semua pihak dan bukan kejayaan individu semata-mata.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1BpDde9E91/?mibextid=wwXIfr

Beliau turut mengingatkan agar warga kerja SADA terus mengekalkan momentum kecemerlangan dan tidak leka dengan kejayaan lalu, sebaliknya sentiasa bersedia menghadapi cabaran mendatang khususnya berkaitan peningkatan permintaan air, impak bencana alam, perubahan iklim serta peningkatan kos operasi yang semakin mencabar.

Antara pengisian utama majlis ialah Lafaz Ikrar Integriti dan Tadbir Urus Warga Kerja SADA sebagai simbol komitmen berterusan dalam membudayakan nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam organisasi.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Plak Penghargaan kepada graduan Program Strategik Kepimpinan serta Program Sijil Eksekutif Tahap 1 dan Tahap 2 sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkasa pembangunan modal insan SADA.

Dalam majlis yang sama, SADA turut melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan Sistem Bekalan Air SADA 2025–2029 yang menjadi pemacu transformasi digital syarikat ke arah operasi yang lebih cekap, berdaya saing dan berfokuskan pelanggan.

Di akhir majlis, Tuan Radzuan turut menyerahkan sumbangan bantuan pendidikan kepada anak-anak kakitangan SADA yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga kerja SADA.

Majlis Amanat Tahun Baharu ini mencerminkan komitmen SADA dalam memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, memantapkan integriti organisasi serta memastikan kesinambungan perkhidmatan bekalan air yang mampan dan lestari untuk manfaat rakyat Negeri Kedah.