500 Akaun di Pulau Langkawi Terima Manfaat Projek Rumah Pam dan Tangki Sedutan
LANGKAWI, 30 Disember 2025 – Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA), Tuan Radzuan Osman telah mengadakan lawatan kerja ke tiga (3) lokasi projek pembinaan rumah pam dan tangki sedutan di Pulau Langkawi pada 28 Disember 2025.
Ketiga-tiga projek yang terletak di Taman Seroja & Taman Dayang, Kampung Kilim dan Kampung Makam Mahsuri tersebut telah siap dibina dan mula beroperasi sepenuhnya pada 30 November 2025. Pelaksanaan projek ini secara keseluruhan memberi manfaat kepada lebih 500 akaun pengguna di kawasan terlibat.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/19wWq8Veos/
Melalui pelaksanaan projek ini, para pengguna akan menerima bekalan air yang lebih stabil berbanding sebelum ini, khususnya bagi kawasan berbukit dan yang terletak di penghujung sistem agihan bekalan air.
Dalam lawatan yang sama, Tuan Radzuan turut berkesempatan menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada tiga (3) buah keluarga yang memerlukan di kawasan sekitar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengurus Kanan Jabatan Korporat, Puan Siti Syuhairah Sobri dan Pengurus Wilayah Langkawi, Ts. Mohd Affandi Mohd Noor.
SADA kekal komited dalam memperkukuh keupayaan sistem bekalan air serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan melalui pembangunan infrastruktur yang berterusan demi kesejahteraan pengguna di Negeri Kedah.
