Projek Pembinaan Rumah Pam & Tangki Sedutan Merbok dan Taman Murni Beri Manfaat Kepada 2,100 Akaun Pengguna
KUALA MUDA, 3 Disember 2025 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) terus memperkukuh keupayaan infrastruktur bekalan air melalui pelaksanaan dua projek penting iaitu Pembinaan Rumah Pam dan Tangki Sedutan Merbok serta Taman Murni, yang secara keseluruhan memberi manfaat kepada lebih 2,100 akaun pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Tuan Radzuan Osman, telah mengadakan lawatan kerja ke kedua-dua tapak projek bagi meninjau operasi semasa dan keberkesanan infrastruktur yang mula beroperasi sepenuhnya sejak 2 Oktober 2025.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/19DomaKD9v/
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi, Tuan Haji Zulazni Mohd Noor; Pengurus Besar Teknikal & Operasi, Ir. Saiful Azlan Md Radhi; Pengurus Kanan Jabatan Korporat, Puan Siti Syuhairah Sobri; serta Pengurus Wilayah Tengah, Encik Mohd Ashraf Mohd Shariff.
Kedua-dua projek ini memainkan peranan penting dalam menyokong operasi LRA Merbok dan LRA Gurun, iaitu loji jenis headwork yang menerima sumber air mentah dari kawasan gunung dan bukit. Tidak seperti loji konvensional yang merawat air sungai, loji headwork lebih terdedah kepada isu kadar kekeruhan air mentah yang tinggi dan musim kemarau.
Melalui pembinaan rumah pam dan tangki sedutan baharu ini, tekanan bekalan air dapat distabilkan, risiko gangguan ketika loji henti tugas dapat dikurangkan, dan kemampuan agihan air turut dipertingkatkan ke kawasan-kawasan sekitar termasuk Kampung Pondok, Kampung Hilir, Kampung Merbok, Taman Murni, Kampung Ketapan, Kampung RISDA, Taman Lembah Jerai dan beberapa kawasan lain.
Kedua-dua projek ini dilaksanakan melalui peruntukan dalaman dan mencerminkan komitmen SADA dalam meningkatkan kecekapan serta kelestarian perkhidmatan bekalan air di Negeri Kedah.
Dengan kedudukan kewangan syarikat yang kukuh, SADA akan terus melaksanakan projek-projek pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
